LOVE IS CINTA

Cintailah sesiapa sahaja

Asal wadahnya cinta Allah

Hati tidak resah

Jiwa tak akan gelisah

Jauh terhubung rindu

Dekat terikat padu

Cinta. Apa itu cinta? Jika kita berbicara tentang cinta, pasti kita tidak terlepas daripada memperkatakan cinta monyet yang menjadi nadi kepada kehidupan mahasiswa masa kini. Cinta sebenarnya merupakan satu fitrah yang ada di dalam hati setiap manusia. Cinta wujud dari satu perasaan yang halus. Cinta mewujudkan perasaan kasih sayang dan belas kasihan sesama manusia serta makhluk di dunia ini. Tanpa perasaan cinta, seseorang itu akan merasai kekosongan di dalam jiwa mereka.

Benarkah seperti yang dikatakan ‘cinta pandang pertama itu wujud’? Pakar-pakar psikologi mengatakan ia wujud. Salah satu teori psikologi yang digunakan bagi menerangkan fenomena itu adalah teori kuasa tarikan. Setiap individu memiliki kuasa tarikan, ada yang memiliki kuasa tarikan tinggi dan ada pula yang memiliki kuasa tarikan rendah.

Menurut pakar psikologi, siswi menganggap cinta adalah sejenis emosi. Sebaliknya, siswa pula mengatakan cinta adalah suatu peristiwa atau kejadian, bukannya emosi.Setiap peristiwa mempunyai permulaan dan penghujung. Oleh itu bagi mahasiswa atau remaja lelaki, sekali mereka jatuh cinta dengan pasangannya, maka cinta itu akan terus kekal jika tiada halangan yang menimpa. Oleh sebab itu, lelaki apabila telah melafazkan cinta, maka baginya selepas itu perkataan cinta itu tidak perlu disebut-sebut lagi.

Berlainan dengan mahasiswi atau remaja perempuan, mereka sentiasa mahu mendengar kata-kata cinta. Realiti atau ilusi? Bercinta di IPT, sesuai atau tidak? Terdapat pelbagai pendapat berkenaan hal ini. Namun bagi penulis, cinta di IPT boleh dijalinkan asalkan tahu batasan masing-masing. Perasaan untuk mencintai dan dicintai memang tidak dapat dielakkan oleh semua insan termasuklah mahasiswa. Perhubungan ini seharusnya membawa kesan yang positif bagi mahasiswa kerana mereka mempunyai pendorong untuk memberi galakan atau persaingan dalam bidang pelajaran selain ibu bapa yang sentiasa mendoakan kejayaan mereka. Ramai mahasiswa melafazkan cinta tetapi mereka sendiri tidak mengetahui mengapa dan kenapa mereka bercinta.

Cinta dan permasalahannya telah menjadi perkara serius dalam kehidupan di kampus. Kerana cinta, pertelingkahan antara kawan berlaku, keputusan akademik merosot dan hidup terumbang-ambing. Namun ada juga yang sebaliknya. Pertembungan antara cinta hakiki dengan cinta palsu menyebabkan mahasiswa Muslim menghadapi dilema perasaan yang kronik. Krisis cinta palsu menyebabkan mahasiswa Muslim memusnahkan etika spiritual dan menodai sosial sehingga ada yang sanggup membunuh diri akibat tekanan perasaan yang sukar untuk dikawal.

Islam tidak memusuhi cinta kerana ia sesuai dengan ciri-ciri Islam sebagai agama yang menepati fitrah manusia. Malah Islam memandang tinggi persoalan cinta yang tentunya merupakan perasaan dan fitrah yang menjiwai naluri setiap manusia. Bagaimanapun, cinta dalam Islam perlu melalui peringkat-peringkat berikut :

1. Cinta Kepada Allah

Cinta yang tertinggi adalah cinta kepada Allah. Tanpa cinta kepadaNya, ia tidak akan memberi pulangan yang bererti, sedangkan apa yang menjadi tunjang kepada Islam ialah mengenali dan mencintai Allah.

Firman Allah swt : “…(walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain daripada Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah….”(Surah Al-Baqarah:165)

2. Cinta Kepada Rasulullah s.a.w. dan para Anbia’

Ketika manusia dalam kegelapan, maka diutuskan seorang pembawa obor yang begitu terang untuk disuluhkan kepada manusia ke arah jalan kebenaran. Pembawa obor tersebut adalah Rasulullah s.a.w. Maka, menjadi kewajipan kepada kita untuk memberikan cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan para anbia’ dengan mengikut segala sifat yang terpuji baginda. Atas rasa cinta inilah, para sahabat sanggup bergadai nyawa dan menjadikan tubuh masing-masing sebagai perisai demi mempertahankan Rasulullah s.a.w. dalam usaha menyebarkan agama Islam.

3. Cinta Sesama Mukmin

Perasaan kasih sayang sesama manusia merupakan tunggak utama untuk menyalurkan konsep persaudaraan. Cinta inilah yang mengajar kita supaya mencintai ibu bapa, saudara mara, jiran tetangga , kawan-kawan dan semua makhluk Allah.

Itulah cinta di dalam Islam. Ia harus diasaskan di atas dasar keimanan kepada Allah. Alangkah ruginya cinta yang lari dari landasan iman. Lalu akan hanyutlah jiwa-jiwa yang menyedekahkan dirinya untuk diperlakukan oleh ‘syaitan cinta’ sewenang-wenangnya.

Pengalaman sudahpun mengajar kita bahawa jangan sesekali bermain cinta, nanti terbakar diri. Jangan kita tertipu dengan pesona cinta yang dihiasi perbagai janji dan sumpah setia. Jangan kita mabuk dengan rindu dan asyik yang membuai serta melenakan. Seteguk kita minum dari kendi cinta terlarang, racunnya akan meresap membunuh akal, jiwa dan perasaan. Pada ketika itulah cinta dikatakan buta. Maka butalah mata hati dan mata kepala.

Mahasiswa selalu bertanya apakah salah kami bercinta? Tidak, bercinta memang tidak salah justeru ia adalah fitrah semulajadi yang Allah kurniakan kepada setiap manusia. Ingin dicintai dan mencintai adalah ‘instinct’. Jiwa manusia memerlukan cinta seperti jasad yang perlukan makanan. Oleh kerana cinta adalah fitrah, maka tentulah tidak salah untuk merasainya. Namun Allah tidak mengurniakan cinta begitu sahaja. Oleh itu, Dia mencipta peraturan cinta demi menjaga kemurniaannya. Peraturan-peraturan inilah yang kerap dilanggar oleh para remaja kini.

Rasa cinta tidak salah tetapi kesalahan selalu berlaku sewaktu menjalinkan hubungan cinta. Di sinilah berlakunya cinta terlarang iaitu cinta yang menafikan peraturan Tuhan. Ketika itu fitrah telah menjadi fitnah. Bila kehendak semulajadi tidak disalurkan atau diisi mengikut peraturan maka akan berlakulah kekalutan dan kemusnahan. Peraturan cinta diadakan kerana Allah mencintai manusia. Allah menginginkan keselamatan dan kesejahteraan buat manusia dalam melaksanakan keinginan fitrah semulajadinya.

Peraturan cinta bagai lampu isyarat di jalan raya. Kereta diciptakan dengan kuasa untuk bergerak, tetapi pergerakannya perlu diatur dan dikawal. Jika tidak, dengan kuasa itu akan berlakulah perlanggaran dan pertembungan. Begitulah cinta, ia adalah kuasa tetapi kuasa itu perlukan peraturan dan kawalan. Peraturan utama dalam cinta adalah cinta itu perlu didasarkan kepada cinta Allah. Allah memberi kita fitrah lalu kita niatkan dengan fitrah itu boleh menghampirkan diri kita kepadaNya. Cintailah sesiapa pun tetapi pastikan cinta itu memudahkan kita mencintai Allah. Selain itu, pastikan juga semasa menjalinkan hubungan cinta tidak ada hukum Allah yang dilanggar.

Maka dalam meniti usia remaja, mahasiswa perlu berhati-hati dengan mainan perasaan walaupun perkara yang amat sukar dilakukan, apatah lagi semakin dihambat usikan perasaan, semakin ia datang mencengkam. Itulah azam kita untuk melawan nafsu dan alangkah malunya untuk kita tewas dan kita sendiri merelakan diri dibawa oleh arus yang menghancurkan.

Allah Maha Mengetahui dan Maha menyayangi. Segala peraturanNya dibuat dengan rasa cinta terhadap hambanya. Cinta suci mampu tumbuh tanpa semua itu dan cinta itu pasti akan membawa ke gerbang perkahwinan untuk bercinta lagi dengan seribu keindahan. Bahkan, jika ditakdirkan cinta itu akan terus bersemi dan bersambung ke alam akhirat. Ketika itulah fitrah akan menjadi anugerah.